MAC 2023

Siap Sedia Hadapi Cuaca Ekstrim


KUCHING: Penduduk diminta bersiap sedia menghadapi musibah bencana akibat keadaan cuaca semakin ekstrim ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, mereka perlu bersiap sedia di peringkat komuniti dengan mengikuti kursus berkaitan penyelamatan dan pencegahan bahaya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Sementara kita menunggu penyelamat datang di peringkat komuniti itu, kita sudah bersiap siaga untuk melakukan pencegahan dan penyelamatan," katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Bomba Komuniti Petra Jaya 2023  di Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya di sini, hari ini.

Fadillah berkata, ini antara peranan dilaksanakan JBPM Sarawak walaupun mereka kadang-kadang berhadapan kepayahan kerana kekurangan jumlah anggota bomba dan  peralatan.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komuniti berkata, ada menerima laporan terdapat beberapa pekebun kecil terjejas akibat banjir di Johor baharu-baharu ini.

"Kita telah kenal pasti dan apa bentuk bantuan yang bakal kita berikan kepada mereka," katanya.

Fadillah berkata, kementerian itu dan agensinya bersama syarikat besar juga mengadakan program Tangungjawab Sosial Korporat (CSR) membantu mereka sama ada mengantikan peralatan yang hilang dan sebagainya.

Sumber dari : Jiwa Bakti